
Polis tahan enam suspek kejadian tetak dalam rumah
PUCHONG – Polis menahan enam lelaki bagi membantu siasatan kes tetak dalam rumah oleh sekumpulan individu, kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Mohd Fairus Jaafar berkata, kesemua yang ditahan merupakan warga tempatan berusia lingkungan 23 hingga 28 tahun, dan mempunyai rekod lampau jenayah dan narkotik.
“Suspek ditahan reman selama tiga hari mulai 27 Jan hingga 29 Jan bagi siasatan lanjut,” kata Timbalan Ketua Polis Subang Jaya, Mohd Fairus Jaafar, dalam kenyataan, malam tadi.
Kes disiasat bawah Seksyen 394 dan 397 Kanun Keseksaan, iaitu sengaja menyebabkan cedera ketika melakukan rompakan.
Semalam, tular di media sosial satu video menunjukkan sekumpulan lelaki bertopeng dan membawa beberapa bilah parang memasuki sebuah rumah.
Suspek kemudian menyerbu dua mangsa lelaki yang berusia 31 dan 38 tahun yang berada di ruang tamu rumah dan menetak berkali-kali menggunakan parang.
Kesemua suspek kemudiannya melarikan diri dengan menaiki tiga buah kenderaan, manakala dua mangsa parah ditetak pada bahu, badan, kaki, tangan serta beberapa bahagian tubuh lain.
Kejadian difahamkan berlaku di sebuah rumah di Jalan Bunga Melur, Batu 14, dekat sini pada pukul 12.13 malam, 26 Jan lalu.
“Kedua-dua mangsa sedang dirawat di Hospital Sedang dan dalam keadaan stabil,” kata Fairus lagi.
Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui punca kejadian.
Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta memberikan kerjasama kepada polis melalui 03 78627222 (Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya) atau pegawai penyiasat, Khairulazizi Ismail di talian 019 2817820.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |