
Polis tahan dua suspek disyaki dalang tawaran haji percuma palsu
KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan penahanan seorang lelaki dan seorang wanita dipercayai dalang kepada penawaran pakej haji percuma palsu.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, kedua-dua individu itu ditahan oleh pasukan petugas khas ‘Op Haji Terkandas’, semalam.
“Kedua-dua suspek, masing-masing berusia 36 dan 39 tahun, dipercayai dalang utama di sebalik aktiviti ini.
“Kedua-dua suspek direman selama sehari bagi membantu siasatan, sebelum dibebaskan dengan jaminan polis semalam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana cubaan menipu
Muhammed Hasbullah dalam kenyataan sama menafikan pasukan petugas turut menahan 80 jemaah haji yang kononnya menggunakan visa pelancong untuk ke Makkah.
“Dalam insiden Isnin lepas, pasukan petugas tersebut mengesan kehadiran sekumpulan jemaah haji di KLIA yang sedang menunggu ketibaan seorang individu bergelar Datuk.
“Individu tersebut dikatakan akan menyerahkan visa yang membolehkan mereka berlepas ke tanah suci, namun visa yang dijanjikan tidak pernah diperoleh,” katanya.
Susulan itu, katanya, salah seorang mangsa telah membuat laporan polis mendakwa beliau dan isterinya telah menyerahkan pasport antarabangsa kepada dua individu yang menawarkan pakej haji secara percuma.
“Pakej tersebut didakwa dikendalikan oleh sebuah agensi pelancongan yang berdaftar sebagai pengelola jemaah haji bagi tahun ini.
“Mangsa dijanjikan penerbangan ke Makkah pada Ahad, namun sehingga Selasa tiada sebarang pengesahan penerbangan diterima daripada pihak syarikat berkenaan,” katanya.
Menurutnya, mangsa turut menyatakan kebimbangan mengenai kemungkinan maklumat peribadi serta pasport antarabangsa beliau dan isterinya disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |