
Polis tahan 3 individu disyaki terlibat kejadian larikan murid perempuan
KUALA LUMPUR – Pihak polis menahan tiga individu termasuk seorang wanita kerana disyaki melarikan seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun di Kepong, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, tangkapan dibuat selepas polis menerima aduan daripada ibu mangsa berusia 42 tahun pada jam 10.36 pagi sebelum itu.
“Wanita itu sebelumnya dimaklumkan oleh guru anaknya mengenai kejadian.
“Siasatan awal mendapati pelajar Tingkatan Lima itu dilarikan oleh seorang lelaki dan seorang perempuan warga tempatan yang menggunakan sebuah kereta,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Susulan itu, Noor Ariffin berkata, polis menahan tiga individu, membabitkan dua lelaki tempatan berumur 22 dan 20 tahun serta seorang wanita tempatan berumur 20 tahun.
“Kita turut merampas sebuah kereta Toyota warna putih dan sebuah motosikal Yamaha Y15ZR. Semua suspek kini direman empat hari hingga Selasa ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan atau menghubungi Inspektor Yap Ching Chua di talian 019-9969649, selain Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |