Polis siasat pengawal keselamatan dipercayai lepaskan tembakan terhadap individu mengamuk
SHAH ALAM – Polis sedang menyiasat seorang pengawal keselamatan yang dipercayai melepaskan tembakan ke arah seorang lelaki bersenjatakan parang di sebuah restoran di Banting, dekat sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Mohd Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya dimaklumkan oleh orang awam mengenai kejadian seorang lelaki warga tempatan mengacukan sebilah parang ke arah pegawai perubatan, pukul 3.31 petang kelmarin.
“Terlebih dahulu kira-kira pukul 12.05 tengah hari, polis menerima panggilan daripada adik mangsa yang melaporkan seorang individu mengamuk di rumahnya di kawasan Banting.
“Susulan itu, bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat menggerakkan anggotanya dan membawa lelaki itu ke Hospital Banting untuk mendapatkan rawatan sebelum kejadian tersebut berlaku pada sebelah petang,” menurutnya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan selain memohon mereka yang mempunyai maklumat untuk hadir ke balai polis berdekatan atau menghubungi bilik gerakan IPD Kuala Langat di talian 03-3187 2222.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 37 dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960.
Terdahulu, video kejadian tersebut turut menjadi tular di media sosial sejak semalam.
Video itu memaparan seorang lelaki dalam keadaan mengamuk mengacukan parang ke arah beberapa petugas kesihatan sebelum pengawal keselamatan yang berada di lokasi kejadian melepaskan tembakan menggunakan senapang patah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






