
Polis siasat dakwaan murid ada ‘hubungan istimewa’ dengan guru
SEPANG – Pihak polis mengesahkan sedang menyiasat laporan seorang bapa mengenai anaknya yang berusia 12 tahun disyaki mempunyai hubungan istimewa dengan seorang guru sebuah sekolah di Dengkil, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pihaknya menerima laporan daripada bapa pelajar itu, 26 Februari lalu.
“Bapa kandung mangsa tampil membuat laporan apabila mendapat tahu anak perempuannya sering dihubungi seorang guru lelaki berumur 30-an menerusi aplikasi media sosial,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelas Norhizam, pemeriksaan bapa mangsa terhadap telefon bimbit anaknya menemukan komunikasi yang tidak menampakkan hubungan seperti antara seorang anak murid dan guru.
Bapa mangsa yang curiga dengan komunikasi berkenaan kemudian bertanya kepada anaknya, namun dinafikan.
“Guru lelaki berkenaan sudah dipanggil bagi memberi keterangan semalam, dan dibenarkan pulang,” kata Norhizam.
Mangsa turut dihantar ke hospital bagi pemeriksaan dan disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau kemudian berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 15(a)(iii) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (AKta 792), dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda RM20 ribu atau kedua-duanya sekali.
Norhizam turut memohon orang ramai supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak benar mengenai kes ini.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |