Jenayah & Mahkamah

Polis Sepang tahan lelaki miliki pistol tiruan

SEPANG – Polis Sepang mengesahkan menahan seorang lelaki kerana didapati memiliki sepucuk pistol tiruan semasa Ops Bersepadu Pencegahan Jenayah di Jalan Lebuh Bukit Puchong, di sini kelmarin.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintenden G Shan Gopal, tangkapan dan rampasan dibuat semasa lelaki warga tempatan berusia 25 tahun itu melalui sekatan jalan raya dengan menaiki motosikal miliknya jenis Yamaha Y15, pada pukul 10.05 pagi.

“Semasa pemeriksaan dijalankan, pihak polis menemukan sepucuk pistol tiruan berwarna hitam berserta sarung pistol di dalam bakul motosikal.

“Pihak polis turut merampas satu kelopak yang mengandungi empat butir peluru jenis ‘ball bearing’,” katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Siasatan mendapati, suspek bekerja sebagai penternak lembu di Pulau Meranti, Puchong, dekat sini dam mempunyai pelbagai rekod jenayah iaitu dua kes dadah dan dua kes jenayah.

Tambahnya, kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dan suspek akan dituduh di bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960.

Sabit kesalahan, suspek boleh dipenjara tidak lebih satu tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Katanya, suspek akan dituduh esok di Mahkamah Majistret Sepang.

“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membawa apa-apa amunisi atau senjata api walaupun tiruan kerana perbuatan itu merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang dan mengundang kegusaran awam,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button