JENAYAH & MAHKAMAH

Polis rampas dadah RM10.4 juta di Kajang

SHAH ALAM – Polis merampas dadah dianggarkan bernilai RM10.4 juta dalam serbuan di sebuah rumah teres tiga tingkat di Kajang yang dijadikan stor serta tempat pembungkusan dadah sejak tiga bulan lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya turut menahan tiga individu terdiri daripada dua wanita tempatan dan seorang lelaki warga asing disyaki sebagai pembungkus dadah dalam serbuan pada 8 Dis lalu itu.

Menurut Shazeli, kira-kira 81 kilogram (kg) dadah dirampas merangkumi serbuk dan pil ekstasi, ketamin, syabu, pil eramin 5 dan pil yaba.

“Polis turut merampas 1,600 batang rokok disyaki mengandungi bunga ganja dengan anggaran berat 2kg, selain 400 kotak minuman dan botol disyaki berisi cecair ecstasy berisipadu kira-kira 195.50 liter.

“Semua dadah ini dipercayai untuk pasaran sekitar Lembah Klang,” katanya, hari ini.

Beliau memberitahu, dua wanita yang ditahan dipercayai menerima upah sebanyak RM5,000 manakala suspek warga asing itu dipercayai baru mula bekerja selepas memasuki Malaysia, 25 Nov lalu.

Buat masa ini, pihak polis sedang giat mengesan dalang dan rangkaian lain bagi mengetahui lebih lanjut mengenai modus operandi dan harga pasaran minuman dadah berkenaan.

Tambahnya, semua suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala sebuah Honda City dan enam barang kemas bernilai RM52,600 dirampas bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button