BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Polis rampas dadah bernilai RM1.08 juta dalam tiga serbuan di Selangor

SHAH ALAM – Pelbagai jenis dadah bernilai RM1.08 juta dirampas pihak polis dalam beberapa serbuan di sekitar bandar raya ini, Klang Utara, dan Ampang Jaya pada 31 Disember tahun lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya turut menahan lima individu termasuk tiga sekeluarga berusia belasan tahun hingga 47 tahun.

Beliau berkata, kes pertama membabitkan seorang pekerja syarikat pembekal bahan binaan berusia 30 tahun yang telah menyewa sebuah rumah khusus untuk dijadikan makmal mini pemprosesan dadah jenis ekstasi.

“Lelaki itu yang juga seorang duda ditahan pada 6.40 petang di sebuah rumah di sekitar Klang dan siasatan menemukan sejumlah kecil dadah jenis MDMA (ekstasi) dan ketamin di rumah terbabit.

“Polis kemudian dibawa ke rumah sewanya di Setia Alam yang dijadikan ‘makmal mini’ dan merampas pil ekstasi seberat 5.3 kilogram (kg); cecair syabu (2.24 liter); syabu (2.1 kg); heroin (1.19 kg) dan peralatan memproses dadah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, kesemua dadah dirampas dianggarkan bernilai RM1.06 juta yang dipercayai untuk diedar di pasaran Lembah Klang.

Dalam kes kedua, Hussein berkata seorang lelaki bersama isteri dan anak perempuannya ditahan di sekitar Setia Alam pada 9.30 malam dan polis merampas ganja seberat 316 gram di dalam kereta dinaiki mereka.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati lelaki itu hanya berperanan sebagai penghantar dadah dan dalam perjalanan untuk menghantar bekalan pada malam tahun baharu.

“Berpandukan tunjuk arah lelaki itu, polis berjaya menahan seorang pengedar dadah di sebuah rumah di sekitar Ampang Jaya bersama 6.4 gram ganja bernilai lebih RM20,000 serta menyita wang tunai berjumlah RM107,013,” katanya.

Hussein berkata pihanya sedang menyiasat penglibatan ahli keluarga yang lain dan kesemua suspek bagi kedua-dua kes berkenaan direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button