Polis rakam percakapan pemilik kenderaan berpelekat tulisan Hebrew
MELAKA – Polis Melaka sudah merakam percakapan pemilik kenderaan pacuan empat roda yang tular kerana memaparkan pelekat bertulisan Hebrew, baru-baru ini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, siasatan mendapati pesara kerajaan berusia 59 tahun itu mengakui pelekat yang dilekatkan pada belakang kenderaannya itu telah ditempah di sebuah kedai di Selangor sejak 13 tahun lalu.
Katanya, individu tersebut menggunakan tulisan abjad Hebrew kerana minatnya terhadap pelbagai tulisan asing termasuk Greek dan Russia.
“Dia pernah terlihat satu tulisan dalam bahasa Hebrew yang membawa maksud ‘Israel Betainu’, iaitu ‘Israel Rumahku’.
“Kemudian, dia mengolah tulisan itu dengan menukarkan ‘Israel’ kepada ‘Malaysia’, menjadi ‘Malizia Beiteinu’, yang bermaksud ‘Malaysia Rumahku’,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang, di sini hari ini.
Dzulkhairi berkata, pesara itu yang telah bersara sejak empat tahun lalu juga telah membuat laporan polis selepas gambar kenderaannya menjadi tular di media sosial dan perkara itu disedari oleh adiknya yang sering menggunakan kenderaan tersebut.
Beliau turut berkata, walaupun kenyataan daripada individu berkenaan telah direkodkan, siasatan masih diteruskan termasuk mendapatkan pandangan pakar bahasa untuk memastikan tiada unsur lain yang mencurigakan.
Sehubungan itu, Dzulkhairi menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang provokasi atau ulasan melampau di media sosial susulan isu itu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menimbulkan ketakutan awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian telekomunikasi.
Laporan media sebelum ini menyebut, tular di media sosial satu klip video memaparkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu yang dilekatkan pelekat bertulis ‘Malaysia rumah kami’ dalam bahasa Hebrew, iaitu bahasa rasmi Israel sekali gus mencetuskan kebimbangan dan kemarahan orang ramai.
Tulisan Hebrew pada pelekat berkenaan membawa maksud yang sangat sensitif dan boleh menimbulkan provokasi, terutama ketika isu Gaza masih menjadi perhatian dunia termasuk menerusi misi Global Sumud Flotilla (GSF) dan Freedom Flotilla Coalition (FFC).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







