JENAYAH & MAHKAMAH

Polis putus telinga digigit warga Afrika mengamuk di klinik

KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis berpangkat koperal cedera parah apabila telinga kirinya putus selepas digigit seorang lelaki warga Afrika yang bertindak agresif ketika cuba ditahan di sebuah klinik swasta di Metro Prima, Kepong, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, anggota terbabit bersama seorang lagi rakan setugas dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan berhubung seorang pesakit warga asing yang mengamuk di premis berkenaan.

Menurut sumber, suspek yang berusia 38 tahun pada awalnya dilihat cuba memberikan kerjasama apabila ditenangkan pihak polis.

“Namun sebaik sahaja hendak dimasukkan ke dalam kenderaan peronda (MPV), suspek secara tiba-tiba berpaling lalu menggigit telinga kiri anggota polis terbabit sehingga putus.

“Akibat kejadian itu, anggota polis berkenaan yang berada dalam lingkungan usia 30-an mengalami pendarahan teruk dan segera dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut,” katanya lagi.

Difahamkan, mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan dijadualkan menjalani pembedahan bagi menyambung semula bahagian telinganya yang terputus.

Siasatan awal mendapati suspek merupakan seorang pelajar kolej swasta di ibu negara dan telah ditahan bagi membantu siasatan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintenden Jasni Zopal ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button