JENAYAH & MAHKAMAH

Polis panggil pempengaruh dirakam tunggang kenderaan mikromobiliti di jalan raya

MELAKA – Polis sudah memanggil seorang pempengaruh media sosial selepas video yang memaparkan dia menunggang motosikal elektrik menjadi tular, semalam.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya mengesan video tular berdurasi 22 saat itu di aplikasi TikTok, semalam.

Siasatan mendapati, video tersebut menunjukkan kenderaan mikromobiliti yang sudah diubah suai, dipasang bumbung dan ditunggang seorang lelaki bersama dua pembonceng lelaki di persimpangan lampu isyarat Lee Rubber, Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), di sini.

“Kira-kira jam 1 tengah hari semalam, kita berjaya mengesan penunggang motosikal elektrik terbabit yang menggunakan akaun TikTok @Isa Isarb.

“Polis turut membuat pemeriksaan ke atas satu motosikal bernombor plat MDJ1154 yang didaftarkan atas nama Isa Isarb dipercayai merakam aksi kenderaan mikromobiliti berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Susulan itu, katanya, pihak polis kemudian menghubungi Isa dan dimaklumkan dia berada di Sabah atas urusan perniagaan sehingga 16 Mei ini.

“Penama (Isa) diminta hadir ke Pejabat Penguatkuasa Polis Peronda Lebuh Raya (HMPV) Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPTD) Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah untuk diambil keterangan.

“Beliau bagaimanapun mengesahkan akan hadir bersama peguam pada 17 Mei ini,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kenderaan terbabit termasuk dalam kategori kenderaan mikromobiliti yang penggunaannya di atas jalan raya awam adalah dilarang di bawah Kaedah 3(1), Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan (Larangan Penggunaan Kenderaan Mikromobiliti Tertentu) 2021.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button