BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Polis Pahang tumpas sindiket jus campuran dadah

KUANTAN – Seorang lelaki dengan tujuh rekod lampau berkaitan dadah ditahan dipercayai dalang pengedaran jus minuman bercampur dadah di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman berkata, penahanan suspek berusia 42 tahun itu pada 12.10 tengah malam tadi adalah hasil serbuan polis ke atas dua lokasi berasingan.

Beliau berkata, penahanan lelaki berkenaan dipercayai mempunyai hubungan dengan aktiviti pengedaran dadah di pusat hiburan sekitar daerah berkenaan.

“Susulan penahanan suspek warga tempatan itu, pihak polis berjaya menemui dan merampas 50 cawan jus minuman berisi bahan campuran disyaki dadah berbahaya dengan anggaran berat lebih 5.2 kilogram.

“Turut dirampas 75 kotak jus minuman pelbagai perisa juga disyaki berisi campuran dadah berjumlah 17,900 mililiter dianggarkan bernilai RM35,300,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yahaya berkata, kes kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 15 sebatan jika sabit kesalahan.

Katanya, suspek telah direman tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.

“Hasil ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan turut memiliki tujuh rekod lampau berkait kes dadah,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button