Polis kesan lelaki pukul pemandu lori
DENGKIL – Polis sedang mengesan seorang lelaki yang disyaki memukul pemandu lori menggunakan kayu di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (RNR), di sini bru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, siasatan mendapati kejadian berpunca apabila kenderaan dipandu suspek keluar dari susur jalan secara meluru sehingga menyebabkan sebuah lori di laluan sama membunyikan hon.
“Pengadu sempat mengambil nombor pendaftaran kenderaan tersebut. Apabila sampai di kawasan berhampiran RNR Dengkil arah Utara dalam keadaan lebuhraya sesak, pengadu memberhentikan lori dan pergi berjumpa dengan suspek.
“Suspek telah mengambil sebatang kayu miliknya dan memukul lengan pengadu sebelah kiri sebanyak satu kali,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Selepas kejadian itu, suspek terus masuk ke dalam kenderaannya sebelum beredar meninggalkan lokasi.
Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 324/506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
“Pihak polis masih giat mengesan kesemua suspek terlibat dan menasihati orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis terdekat untuk membantu siasatan,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial satu video berdurasi 37 saat memaparkan seorang lelaki memegang kayu sambil didatangi pemandu lori berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





