BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Polis tahan suspek kelima kes jurujual wanita mati dibunuh

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang jurujual wanita yang ditemui mati dalam keadaan bogel dengan tangan terikat berhampiran bulatan Blue Water Estate, Seri Kembangan, Selangor, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, tangkapan itu membabitkan seorang lelaki tempatan menjadikan jumlah keseluruhan suspek yang ditahan setakat ini seramai lima orang.

Beliau berkata, suspek kelima itu direman lima hari sehingga 10 November ini bagi membantu siasatan.

“Tiga suspek lelaki sebelum ini direman selama lima hari bagi reman pertama, disambung tiga hari bagi reman kedua yang tamat pada 7 November (semalam).

“Suspek keempat iaitu seorang wanita juga direman lima hari bagi reman pertama dan disambung tiga hari lagi bagi reman kedua yang tamat Sabtu ini,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, tiga lelaki yang ditahan dalam serbuan Jumaat lalu membabitkan bekas teman lelaki dan abang angkat mangsa berusia antara 24 hingga 30 tahun.

Suspek keempat yang juga wanita berusia 30-an pula adalah rakan serumah mangsa di kawasan kediaman di Taman Castlefield, Cheras, Kuala Lumpur.

Menurut Muhamad Farid, laporan bedah siasat berhubung punca kematian masih belum diperoleh kerana menunggu keputusan analisis makmal dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif pembunuhan.

Mayat mangsa berusia 24 tahun dan bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya di Ampang dan kedai serbaneka di Bukit Bintang, ditemui orang awam pada jam 3.45 petang, 29 Oktober lalu selepas terhidu bau mencurigakan ketika melalui kawasan Jalan Anggerik, Seri Kembangan.

Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button