
Polis buru tiga lelaki samun guru di hadapan pelajar taska
SABAK BERNAM – Polis sedang memburu tiga individu disyaki terlibat dalam kejadian samun dua orang guru di hadapan 10 pelajar taska di Tali Air 11, Pasir Panjang, Sabak Bernam semalam.
Ketua Polis Sabak Bernam, Superintenden Md Yusof Ahmad berkata, dalam kejadian pukul 9.35 pagi itu, guru berkenaan juga ditampar di kiri kanan pipi, termasuk suspek turut melarikan sebuah telefon bimbit.
Tambahnya, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang tenaga pengajar memaklumkan disamun tiga lelaki tempatan menaiki sebuah kereta Perodua Bezza.
“Ketiga-tiga suspek bersenjatakan parang meluru masuk ke dalam premis dan melarikan dua utas rantai emas dan sebuah telefon bimbit milik dua guru terbabit.
“Polis menerima maklumat, salah seorang suspek bersenjatakan parang bertindak agresif dengan menampar guru wanita terbabit sebanyak dua kali di bahagian pipi kiri dan kanan,” katanya, hari ini.
Siasatan awal mendapati, terdapat dua guru, seorang pembantu dapur, dan 10 kanak-kanak di premis itu ketika kejadian berlaku.
“Tiada kanak-kanak cedera, namun dua guru taska mengalami kerugian selepas barangan kemas dan telefon bimbit jenama Realme dilarikan suspek,” katanya lagi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun berkawan dengan senjata.
Beliau turut memohon orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Nor Aimi Lyana Mohd Khairani di talian 018-2510452 atau hadir ke IPD Sabak Bernam.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |