Polis buru lelaki disyaki tetak isteri
KUALA TERENGGANU – Gara-gara meminta diceraikan, seorang wanita cedera di kepala akibat ditetak dengan parang oleh suaminya.
Menurut Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir, kejadian berlaku di Ketengah Jaya, Dungun pada pukul 10 malam Ahad lepas melibatkan suspek lelaki berstatus penduduk tetap berusia 64 tahun dengan isterinya, seorang warga tempatan berusia 39 tahun.
“Berlaku pertelingkahan antara mereka dan mangsa ketika itu dikatakan ada meminta cerai daripada suspek.
“Berang dengan permintaan isterinya, suspek mengambil objek panjang dipercayai sebilah parang dan menetak bahagian kepala mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Akibat kejadian, mangsa yang bekerja sebagai tukang masak di kantin sebuah sekolah mengalami kecederaan sepanjang sembilan sentimeter (cm) di bahagian dahi.
Mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Dungun sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bagi mendapatkan rawatan.
Kata Maizura, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, dan pihaknya sedang menggiatkan usaha mengesan suspek yang dipercayai melarikan diri selepas kejadian tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |



