JENAYAH & MAHKAMAH

Polis buka tujuh kertas siasatan berkaitan hantaran media sosial

CYBERJAYA – Pihak polis dilaporkan telah membuka tujuh kertas siasatan berkenaan penyebaran berita palsu, menghina Raja, menyentuh sentimen kaum dan agama sejak 1 Dis lalu.

Portal BH Online menyebut bahawa Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching dilaporkan sebagai berkata, ketika ini pihak kementerian sedang menunggu tindakan selanjutnya daripada Pejabat Peguam Negara.

“Bagi tempoh 1 Dis 2022 sehingga 6 Jan 2023, sebanyak tujuh kertas siasatan bagi hantaran media sosial yang berunsurkan 3R (raja, kaum, agama) telah dibuka dan dalam siasatan polis dan Jabatan Peguam Negara.

“Kertas siasatan dibuka polis membabitkan kesalahan dalam penulisan artikel berkaitan berita kebencian, menghina Raja-Raja, perkauman dan juga sentimen agama. Ini penting kerana ia merupakan titah nasihat Yang di-Pertuan Agong dan juga Sultan-Sultan di negara ini.

“Oleh itu, kita telah bekerjasama dengan polis dan peguam negara untuk memastikan sebarang kesalahan dibuat membabitkan perkara-perkara tersebut akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang,” katanya dalam laporan tersebut.

Teo kemudiannya menjelaskan, kerajaan tidak berhasrat untuk menyekat akses masyarakat kepada dunia digital tetapi terus berusaha memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat agar menghentikan penyebaran berita palsu.

“Sekarang media sosial sudah menjadi platform yang diguna pakai semua orang, kita tidak boleh hentikan akses mereka dan itu bukan hasrat kerajaan. Kebebasan bersuara adalah ciri penting yang menunjangi sistem demokrasi.

“Bagaimanapun kita perlu ingat bahawa kebebasan bersuara ini bukan bermakna anda ada kebebasan untuk berbohong dan menghasut,” katanya.

Beliau berkata, perkongsian kandungan bersifat palsu, jelik dan mengancam adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button