
PGA rampas tanaman hiasan bernilai RM750,000 di Lalang Pepuyu
GUA MUSANG – Cubaan membawa masuk tanaman hiasan yang dipercayai berpenyakit ditumpaskan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 selepas menahan sebuah lori di Sekatan Jalan Raya (SJR) Lalang Pepuyu, semalam.Menurut kenyataan Briged Tenggara PGA, rampasan itu dilakukan sekitar pukul 5 petang ketika operasi rutin Op Taring Wawasan Kelantan dilaksanakan.
“Pemeriksaan ke atas lori menemukan sejumlah tanaman hiasan pelbagai spesies antaranya 40 pokok Fragrea Fragrans; sembilan pokok Juniperus Chinensis; satu pokok Salix Babylonica; lapan pokok Grescentia Alata bersaiz 3 kaki dan dua pokok bersaiz 2 kaki.
“Kesemua tanaman tersebut dipercayai membawa serangga perosak serta penyakit yang berpotensi menjejaskan industri pertanian tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Siasatan awal mendapati pemandu lori, lelaki tempatan berusia 24 tahun, dipercayai dalam urusan penghantaran tanaman ke nurseri tempatan bagi tujuan komersial.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM750,000 termasuk kenderaan yang digunakan.
“Suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Pertanian Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut, manakala kes disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167).
“PGA mempertingkat kawalan di laluan sempadan dan kawasan berisiko bagi mengekang kemasukan bahan pertanian tanpa kelulusan yang boleh mengancam ekosistem negara,” tegasnya.
Op Taring Wawasan Kelantan merupakan inisiatif strategik antara agensi dalam usaha memperkukuh keselamatan negeri, khususnya di kawasan pedalaman dan sempadan yang dikenal pasti sebagai laluan penyeludupan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |