
Percepat proses periksaan kenderaan, SPRM reman ejen disyaki terima rasuah RM40,000
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang ejen di sebuah pusat pemeriksaan kenderaan kerana dipercayai menerima rasuah bagi mendapatkan nombor giliran untuk mempercepatkan proses pemeriksaan kenderaan tanpa mengikuti peraturan yang sah.
Perintah reman selama lima hari terhadap suspek lelaki berusia lingkungan 60-an itu dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.
Menurut sumber, suspek dipercayai telah menerima rasuah kira-kira RM40,000 daripada pemilik-pemilik kenderaan yang ingin mendapatkan nombor giliran bagi proses pemeriksaan kenderaan di sebuah pusat pemeriksaan kenderaan.
“Tangkapan terhadap suspek ini adalah berdasarkan operasi yang dijalankan SPRM dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Putrajaya dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) membabitkan siasatan terhadap beberapa individu yang dipercayai terlibat sindiket ejen bagi mempercepatkan proses pemeriksaan kenderaan tanpa mengikuti peraturan yang sah.
“Maklumat daripada Bahagian Penguatkuasa JPJ mendapati terdapat beberapa individu telah menyalahgunakan sistem tempahan pemeriksaan Puspakom dengan membuat tempahan secara pukal menggunakan nombor kenderaan secara rawak,” katanya.
Sumber berkata, individu terbabit seterusnya akan menawarkan tarikh-tarikh tempahan yang telah dibuat kepada pelanggan dengan bayaran ratusan ringgit bagi setiap slot pemeriksaan sebelum membuat penjadualan semula tarikh untuk membolehkan permohonan baru dibuat ke dalam sistem.
“Modus operandi ini menyebabkan pelanggan biasa tidak dapat membuat tempahan slot pemeriksaan dalam masa terdekat berikutan slot telah ditempah sepenuhnya oleh ejen,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Putrajaya, Azizul Ahmad Sarkawi ketika dihubungi mengesahkan mengenai tangkapan berkenaan dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Tambah beliau, beberapa lagi ejen yang menjalankan kegiatan yang sama sedang dikesan dan tidak menolak kemungkinan beberapa siri tangkapan susulan akan dibuat untuk tujuan tersebut.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |