
Pensyarah, pesara rugi lebih RM500,000 terpedaya pelaburan palsu dalam talian
KUANTAN – Akibat terpedaya dengan skim pelaburan saham tidak wujud, seorang pensyarah dan pesara di daerah ini mengalami kerugian lebih RM551,000.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, kes pertama membabitkan pensyarah lelaki berusia 43 tahun yang diperdaya individu dikenali melalui media social Facebook yang menawarkan pelaburan saham pada 10 Mac lalu.
Beliau berkata, berdasarkan laporan diterima semalam, suspek kemudiannya mengarahkan mangsa membuat pendaftaran melalui satu pautan yang diberikan.
“Pada mulanya mangsa membuat pelaburan dengan jumlah RM7,000 dan memperoleh keuntungan RM3,000. Mangsa mula yakin dan melakukan enam transaksi kepada empat akaun bank yang berbeza dengan jumlah keseluruhan RM240,000 iaitu wang simpanannya.
“Selepas pelaburan dibuat, mangsa dimaklumkan bahawa akaunnya menunjukkan keuntungan mencecah RM1 juta tetap gagal mengeluarkan wang itu kononnya kerana terlupa kata laluan.
“Suspek kemudian meminta bayaran tambahan RM250,000 untuk mendapatkan kata laluan baharu dengan menjanjikan bahawa RM220,000 akan dibiayai oleh suspek sendiri dan mangsa hanya perlu membayar RM30,000 sebelum menyedari ditipu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi kes kedua pula, Yahaya berkata, pada 11 November tahun lalu, pesara wanita berusia 66 tahun diperdaya melalui satu iklan pelaburan saham yang disiarkan di aplikasi TikTok.
Beliau berkata, mangsa kemudiannya dihubungkan kepada aplikasi WhatsApp dan dimasukkan dalam satu kumpulan dinamakan B810 Quantitative Al Institute.
“Mangsa memuat turun aplikasi pelaburan dengan pautan yang diberikan suspek yang kemudiannya mangsa membuat pelaburan dengan melakukan 16 transaksi kepada enam akaun bank berbeza dari 5 Januari hingga 15 April lalu yang berjumlah RM311,998.
“Selepas itu, aplikasi terbabit tidak dapat diakses dan mangsa diminta membuat bayaran RM50,741 untuk melepaskan kawalan risiko bank.
“Mangsa mula menyedari dirinya ditipu dan sumber kerugian daripada wang simpanan milik mangsa. Dua kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Susulan kejadian itu, Yahaya mengingatkan masyarakat supaya membuat semakan nombor akaun bank yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |