BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Penjenayah maut ditembak selepas serang polis guna parang

KLUANG – Seorang lelaki yang disyaki penjenayah tegar maut ditembak polis selepas bertindak menyerang anggota pasukan keselamatan menggunakan sebilah parang dalam kejadian di Kampung Palembang, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.45 pagi, suspek yang menunggang motosikal tanpa nombor pendaftaran dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Khas (D9), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor yang sedang menjalankan rondaan di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, pihaknya bertindak mengekori suspek sebelum memintasnya di satu laluan tanah merah berhampiran kebun kelapa sawit.

“Semasa anggota cuba melakukan pemeriksaan suspek tiba-tiba mengamuk dan melibas parang ke arah anggota polis hingga mengenai pakaian salah seorang daripada mereka.

“Walaupun amaran telah diberikan, suspek terus bertindak agresif dan menyerang secara bertubi-tubi.

“Bagi mempertahankan diri serta menjamin keselamatan orang awam, anggota terpaksa melepaskan tembakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Suspek disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, pemeriksaan lanjut mendapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada lelaki itu, yang dipercayai warga asing.

Polis turut merampas sebilah parang, dua unit telefon bimbit, wang tunai RM1,900 serta sebuah motosikal jenis Honda Wave yang digunakan suspek.

“Salah satu telefon bimbit yang dirampas dikenal pasti milik mangsa kes samun di daerah ini manakala motosikal terbabit pula dilaporkan hilang di Kulai,” jelasnya.

Tambah beliau, siasatan awal turut mendedahkan suspek dipercayai aktif melakukan kegiatan samun sejak tahun 2024 dengan sekurang-kurangnya enam kes samun berjaya dikaitkan dengannya, lima di Kluang dan satu di Kota Tinggi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, manakala laporan mati mengejut (SDR) turut dibuka.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

“Insiden ini tidak melibatkan isu keselamatan awam secara menyeluruh dan Johor kekal dalam keadaan aman serta terkawal,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button