JENAYAH & MAHKAMAH

Penjaja didenda RM3,000 selepas mengaku salah buat hantaran menghina Yang di-Pertuan Agong

JOHOR BAHRU – Seorang penjaja didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah membuat hantaran menghasut berbaur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong di media sosial, hujung tahun lalu.

Hakim Hazeelia Muhammad turut memerintahkan tertuduh, Zaidi Mat Sah, 56, dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan, lapor portal Kosmo.

Menurut pertuduhan, Zaidi didakwa membuat satu hantaran di aplikasi X menerusi akaun BitZ@zatocent yang mana kenyataan tersebut mendatangkan penghinaan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Dia didakwa itu melakukan perbuatan tersebut di sebuah rumah di Jalan Sutera Kuning 2, Taman Sutera, di sini pada pukul 5.45 pagi, 29 Disember lalu.

Terdahulu, Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Abdul Ghafar Ab. Latif memohon mahkamah memberi hukuman setimpal kepada tertuduh kerana kesalahan itu merupakan kesalahan serius.

Tertuduh dalam rayuannya memohon supaya mahkamah meringankan hukuman kerana dia telah insaf serta menyedari kesalahannya dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.

“Saya seorang penjaja tepi jalan dan menanggung isteri serta anak masih kecil selain turut menjaga ibu mertua, kakak dan adik orang kurang upaya (OKU) terlantar.

“Saya juga ingin maklumkan kenyataan tersebut bukan tulisan asal saya, tetapi saya hanya ‘copy paste’ kemudian ‘repost’ sahaja. Saya terkhilaf dan tidak tahu ia merupakan kesalahan 3R (kaum, agama, raja),” katanya yang tidak diwakili peguam.

Tertuduh yang ditemani isterinya membuat pembayaran denda tersebut selepas prosiding mahkamah selesai.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button