
Peniaga bunuh pelancong Perancis terlepas hukuman mati
PETALING JAYA: Mahkamah Persekutuan yang bersidang hari ini mengetepikan hukuman gantung terhadap peniaga yang membunuh pelancong warga Perancis pada Mei 2011.
Hukuman itu digantikan dengan penjara 36 tahun dan 12 sebatan bermula dari tarikh tertuduh, Asni Omar, 49, ditahan pada 21 Julai 2011, menurut Berita Harian.
Keputusan dibuat panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Nordin Hassan dan Hanipah Farikullah.
Asni sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Stephanie Foray yang ketika itu berusia 30 tahun di sebuah rumah di Kampung Tekek, Pulau Tioman, antara jam 8 malam, 10 Mei 2011 hingga waktu tengah hari, 12 Mei 2011.
Mayat Stephanie yang ditanam dalam sebuah gua di Pulau Tioman kemudian dijumpai kira-kira tiga bulan kemudian.
Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Kee Wie Lon dan Ee Gen You.
Pada 16 Ogos 2016, Mahkamah Persekutuan di Putrajaya mengekalkan hukuman mati ke atas Asni selepas rayuan akhirnya ditolak panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara ketika itu, Arifin Zakaria.
Arifin bersidang bersama empat lagi panel hakim iaitu Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Zainun Ali; Abu Samah Nordin; Zaharah Ibrahim dan Balia Yusof Wahi memutuskan bahawa tiada merit dalam rayuan berkenaan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |