Pengurus hotel rugi RM211,000 terpedaya skim pelaburan tidak wujud
KUANTAN – Seorang pengurus bilik hotel kerugian sebanyak RM211,000 selepas menjadi mangsa penipuan skim pelaburan tidak wujud menerusi platform dalam talian.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa berusia 49 tahun itu tertarik dengan satu iklan pelaburan dikenali sebagai ‘Gexert Max’ yang dilihat di laman sosial Facebook pada 16 Mac lalu.
“Mangsa kemudian berhubung dengan seorang wanita menerusi aplikasi WhatsApp dan telah diperdaya dengan tawaran pulangan pelaburan tinggi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, mangsa diberikan pautan pada aplikasi pelaburan terbabit sebelum membuat enam transaksi berjumlah keseluruhan RM211,000 ke dua akaun bank antara 4 hingga 11 Jun lalu menggunakan wang simpanan sendiri.
Tambah Yahaya, suspek kemudiannya meminta bayaran tambahan, namun mangsa enggan meneruskan selepas menyedari tiada pulangan diterima seperti dijanjikan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar berwaspada terhadap sindiket pelaburan tidak wujud yang sering menjanjikan keuntungan lumayan.
“Sebarang maklumat atau keraguan berkaitan skim pelaburan meragukan boleh dilaporkan segera kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






