
Penghantar makanan mengaku tak bersalah bakar kereta polis bantuan
PETALING JAYA – Seorang penghantar makanan mengaku tidak bersalah atas dakwaan melakukan khianat dengan membakar kereta polis bantuan di Stesen Transit Aliran Massa (MRT) minggu lalu,
Mohamad Hasif Syazani Zulkifle, 26, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya secara berasingan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Dr Syahliza Warnoh dan Majistret Farah Azura Mohd Saad, lapor BH Online.
Mengikut pertuduhan di Mahkamah Sesyen, Mohamad Hasif didakwa melakukan khianat api dengan membakar Proton Preve putih milik polis bantuan Prasarana di Stesen MRT Mutiara Damansara, pada 1.17 pagi 15 Februari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan (KK) yang membawa kepada hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Di Mahkamah Majistret pula, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan menconteng dinding di stesen terbabit pada 1.10 pagi hari yang sama.
Kesalahan mengikut Seksyen 427 KK itu memperuntukkan hukuman penjara antara setahun hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Anis Hakimah Ibrahim dan Noor Khairun Nisa Noor Harun masing-masing mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 dan RM5,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.
Mereka turut memohon syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan dan melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan.
Peguam tertuduh, Kailash Sharma pula memohon jaminan paling minimum apabila menegaskan anak guamnya tiada risiko untuk melarikan diri dan rekod jenayah.
Tertuduh kemudian dibenarkan diikat jamin RM9,500 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan syarat tambahan seperti dicadangkan pendakwaan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 21 Mac ini.
Sebelum ini, dilaporkan polis menahan lelaki terbabit di Flora Damansara dekat sini, kerana disyaki membakar kereta polis bantuan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |