BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Pengarah syarikat ditahan disyaki gubah wang haram RM75 juta

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang pengarah syarikat bergelar Datuk Wira kerana disyaki terlibat dalam pengubahan wang haram bernilai kira-kira RM75 juta.

Perintah reman selama empat hari terhadap suspek dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira jam 4 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.

“Suspek dipercayai telah melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2012 bagi kelulusan pembiayaan pinjaman berjumlah RM400 juta untuk sebuah projek pembangunan rangkaian fibre.

“Siasatan awal mengesyaki RM75 juta tersebut telah disalurkan kepada syarikat milik suspek,” katanya.

Menurut sumber, tangkapan terhadap suspek ini adalah susulan Op Fibre yang dijalankan Bahagian Operasi Khas (BOK), SPRM.

Pada 30 Jun 2025, BOK mengeledah empat lokasi berbeza termasuk kediaman dan pejabat suspek di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

“Melalui operasi yang dijalankan, SPRM telah membekukan 12 akaun bank termasuk akaun persendirian dan syarikat bernilai kira-kira RM400,000,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek dan berkata, kes disiasat di bawah kesalahan-kesalahan AMLATFPUAA 2001 yang melibatkan aktiviti pengubahan wang haram.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button