BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Pengarah agensi penguatkuasa terima rasuah sindiket seludup diesel di Sibu ditahan SPRM

KUCHING – Seorang pengarah agensi penguatkuasaan di sini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai menerima rasuah daripada sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi di Sibu.

Menurut sumber, suspek lelaki yang berusia dalam lingkungan 40-an itu ditahan di Pejabat SPRM Sarawak kira-kira pukul 6.20 petang tadi bagi dirakamkan keterangan.

“Suspek dipercayai telah menerima suapan daripada sindiket berkenaan sebagai balasan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan dan undang-undang terhadap kegiatan penyeludupan minyak diesel di Sibu.

“Tangkapan ke atas suspek ini adalah susulan serbuan dilakukan Bahagian Operasi Khas SPRM menerusi Op Liter di sebuah depoh simpanan minyak di Sungai Bidut, Sibu pada Ahad lalu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009.

Katanya, suspek bagaimanapun telah dilepaskan dengan jaminan SPRM dengan seorang penjamin.

Dalam serbuan SPRM dan pegawai KPDN pada Ahad lalu, pihak berkuasa merampas wang tunai bernilai RM3.7 juta, simpanan minyak diesel bernilai RM1.6 juta dan dua buah tongkang.

Susulan operasi itu, SPRM menahan reman lima suspek termasuk dua beradik yang dipercayai menyeleweng bekalan minyak diesel dari persatuan nelayan dan memberi rasuah kepada agensi penguatkuasa supaya tidak dikenakan tindakan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button