
Penganggur dipenjara 12 tahun, dua sebatan miliki pedang samurai
MUAR – Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas kesalahan memiliki senjata berbahaya dan positif dadah, hujung bulan lalu.
Tertuduh, Muhamad Shukri Rahmad, 31, mempunyai13 rekod jenayah lampau dikenakan hukuman tersebut oleh Hakim Sayani Mohd Nor selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dan tertuduh mengaku bersalah.
Menurut laporan KOSMO! Muhamad Shukri didakwa memiliki pedang samurai sepanjang 90 sentimeter tanpa sebarang kebenaran sah di sebuah kedai asam pedas di Jalan Sungai Abong, di sini pada pukul 3.13 petang, 24 Mei lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, seorang pengadu lelaki berusia 33 tahun membuat laporan polis selepas didatangi tiga lelaki termasuk tertuduh yang memakai topi keledar dan pelitup muka sambil membawa pedang.
Tertuduh kemudiannya bertindak mengacukan serta melibas pedang tersebut ke arah pengadu beberapa kali, namun mangsa sempat mengelak daripada terkena libasan berkenaan.
Siasatan mendapati motif kejadian berpunca daripada dendam lama apabila tertuduh tidak berpuas hati kerana pernah tewas dalam satu pergaduhan dengan pengadu sebelum ini dan mahu mengulangi pergelutan tersebut.
Dalam prosiding sama, Muhamad Shukri turut dikenakan hukuman penjara tujuh tahun dan satu sebatan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan kedua iaitu positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Pendakwaan bagi kedua-dua pertuduhan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Diyana Najihah Muhamed Fauzi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |