Pendakwaan sahkan tarik balik rayuan terhadap keputusan bebas Rosmah Mansor
KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Datin Seri Rosmah Mansor daripada 17 pertuduhan pengubahan wang haram serta lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Penarikan balik itu dimuktamadkan melalui notis yang difailkan pada 9 Disember lalu, memaklumkan bahawa pendakwaan tidak lagi berhasrat mencabar keputusan Mahkamah Tinggi bertarikh 19 Disember 2024.
Susulan itu, tarikh pengurusan kes yang dijadualkan pada 22 Disember ini turut dibatalkan.
Menurut notis tersebut, tindakan menarik balik rayuan menyebabkan notis merayu bertarikh 20 Disember 2024 dianggap terbatal mengikut peruntukan Aturan 73 Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994.
Pada 19 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi melalui keputusan Hakim K. Muniandy membenarkan permohonan Rosmah, 74, untuk membatalkan kesemua 17 pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapinya.
Pertuduhan itu merangkumi 12 tuduhan melibatkan jumlah RM7,097,750 serta lima pertuduhan berhubung kegagalan mengisytiharkan pendapatan kepada LHDN bagi tempoh 2013 hingga 2018.
Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang membawa hukuman di bawah seksyen sama.
Manakala bagi pertuduhan berkaitan LHDN, beliau didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri, seperti diwajibkan di bawah Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967, tanpa sebarang sebab munasabah selaras dengan Seksyen 112 akta sama.
Kesalahan-kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang antara 4 Disember 2013 hingga 8 Jun 2017 serta di Kompleks LHDN, Jalan Tuanku Abdul Halim antara 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








