
Pembonceng motosikal kuasa tinggi cedera parah dirempuh, pemandu Navara direman 2 hari
KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang memandu sebuah pikap Nissan Navara yang disyaki terlibat dalam kes langgar lari berhampiran Plaza Tol Jalan Duta, di sini semalam berjaya ditahan polis.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, suspek berusia 32 tahun dan merupakan lelaki tempatan itu direman selama dua hari.
Dalam kejadian di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) itu, mangsa yang menunggang motosikal berkuasa tinggi itu retak tulang selangka dan luka di buku lali, manakala isterinya cedera parah.
Kedua-dua mereka berusia 53 dan 49 tahun merupakan warga tempatan.
“Wanita itu patah buku lali dan tulang rusuk kanan serta mengalami pendarahan otak akibat pelanggaran itu,” kata Mohd Zamzuri dalam satu kenyataan hari ini.
Siasatan awal mendapati, nahas berlaku pukul 2.30 petang itu membabitkan pikap berkenaan dengan motosikal mangsa.
Sejurus tiba di lokasi kejadian, suspek cuba memotong sebuah motosikal lain namun gagal mengelak motosikal mangsa.
Ia menyebabkan kenderaan dipandu lelaki itu melanggar bahagian kanan motosikal tersebut.
“Laporan polis pertama diterima pada hari sama, pada pukul 6.55 petang dibuat pemandu pikap terbabit.
“Susulan siasatan, permohonan reman dibuat dan suspek kini ditahan selama dua hari di Lokap Dang Wangi bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya,” katanya.
Tambah beliau, kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.
Terdahulu, satu klip video berdurasi satu minit tular di media sosial memaparkan sebuah pikap melarikan diri selepas melanggar motosikal dinaiki pasangan suami isteri terbabit.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |