
Pemandu e-hailing dakwa dipaksa ‘tamatkan trip’ sebelum wanita dilarikan
KUALA LUMPUR – Seorang pemandu e-hailing mendakwa dipaksa menekan butang ‘complete job’ (tamatkan penghantaran) sebelum penumpangnya, Pamela Ling Yueh, 42, dibawa masuk ke dalam sebuah kenderaan oleh sekumpulan individu yang memperkenalkan diri sebagai polis.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2 petang pada 9 April lalu menyaksikan mangsa dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan dari Velocity Tower, Cheras ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.
Menurut pemandu berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Kok, 55, dia diminta oleh wanita itu untuk menghantarnya ke SPRM namun tiada sebarang perbualan antara mereka sepanjang perjalanan.
“Sebaik hampir tiba di bangunan SPRM, tiga kereta tiba-tiba datang dari arah hadapan, sisi dan belakang lalu menghalang kenderaan saya.
“Dua lelaki dan seorang wanita keluar dari dua kenderaan berkenaan. Saya lihat mereka memakai pakaian menyerupai anggota polis termasuk vest bertulis ‘Polis’,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Kok berkata, mereka mendakwa ingin menahan wanita terbabit untuk membantu siasatan berdasarkan satu laporan polis yang diterima.
“Pada awalnya wanita itu enggan keluar tetapi wanita berpakaian seragam itu cuba menariknya. Dua lelaki terbabit kemudian menerangkan ini hanyalah satu tangkapan dan mereka akan bawa dia ke balai polis berdekatan.
“Selepas itu, wanita tersebut menyerah diri, sempat bayar saya RM100 untuk tambang dan barulah saya dipaksa menekan butang ‘complete job’,” katanya lagi.
Menurut Kok lagi, mereka turut mengambil kad pengenalannya, lesen memandu dan nombor telefon sebelum beredar bersama mangsa.
“Disebabkan insiden ini, saya tidak dapat bekerja selama dua minggu kerana menunggu pengeluaran lesen baharu,” katanya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada mangsa dilarikan oleh anggota polis sebenar atau individu yang menyamar sebagai pegawai penguat kuasa.
“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian turut diambil kira dalam siasatan,” katanya lagi.
Setakat ini, polis masih mengesan keberadaan Pamela dan mengesahkan tiada sebarang permintaan wang tebusan diterima berhubung kehilangannya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |