
Positif dadah: Pemandu bot Pulau Perhentian direman tiga hari
SETIU — Seorang pemandu bot berusia 22 tahun direman selama tiga hari selepas disahkan positif dadah susulan insiden bot karam yang meragut tiga nyawa di perairan Pulau Perhentian Besar, kelmarin.
Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Nurliyana Md Zukri di Mahkamah Majistret Setiu pagi tadi mengikut Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tempoh reman berkuat kuasa sehingga Rabu ini bagi membolehkan siasatan dijalankan dengan lebih terperinci.
Menurut laporan, suspek dipercayai mengemudi bot itu ketika kejadian dan hasil siasatan awal mendapati beliau mempunyai lima rekod jenayah lampau.
“Suspek ditahan selepas disahkan positif dadah. Siasatan awal turut mendapati dia memiliki beberapa rekod kes jenayah lampau.
“Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, bot yang membawa 15 penumpang termasuk beberapa kanak-kanak, dikatakan terbalik selepas dipukul ombak besar ketika dalam perjalanan dari Pulau Perhentian Kecil ke Pulau Perhentian Besar,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Tiga mangsa disahkan maut di lokasi S. Arumugam, 40, serta dua anak perempuannya, Sarrvihka Arumugam, 3 dan V. Vennpani, 10.
Seorang lagi kanak-kanak berusia enam tahun dilaporkan dalam keadaan kritikal dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.
Susulan kejadian itu, pihak berkuasa menilai semula garis panduan sedia ada termasuk pengetatan prosedur operasi standard (SOP) serta pelaksanaan ujian saringan dadah secara berkala ke atas pengendali bot.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |