BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Pelaksanaan akta buli langkah tepat bendung jenayah siber, lindungi pelajar

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025 yang bermula 11 Julai lalu disifatkan sebagai langkah tepat dan tuntas dalam menangani peningkatan kes jenayah buli, khususnya buli siber yang semakin berleluasa.

Penolong Setiausaha Publisiti DAPSY Kebangsaan, Syaheera Ghafar

Penolong Setiausaha Publisiti DAPSY Kebangsaan, Syaheera Ghafar berkata, tindakan tegas Kerajaan MADANI itu mencerminkan komitmen tinggi kerajaan dalam melindungi golongan rentan seperti kanak-kanak, remaja dan wanita daripada menjadi mangsa buli.

“Saya amat menyokong usaha Kerajaan MADANI memperkenalkan pindaan kepada kedua-dua akta ini yang memberi tumpuan khusus kepada jenayah buli.

“Ia menunjukkan kesedaran dan kesungguhan kerajaan untuk membanteras jenayah ini secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, peningkatan mendadak kes buli siber dari 1,763 kes pada tahun 2023 kepada 8,756 kes pada tahun 2024 membuktikan bahawa isu ini amat memerlukan perhatian serius dan tidak boleh dipandang ringan.

Menurutnya, kematian influencer media sosial, Rajeswary Appahu atau Esha pada Julai 2024 akibat tekanan buli siber, menjadi titik tolak kepada keperluan reformasi undang-undang berkaitan jenayah buli.

“Lebih menyedihkan, individu yang dikaitkan dengan kematian Esha hanya dikenakan denda maksimum RM100. Ini sangat tidak setimpal dengan kesan yang ditanggung mangsa,” katanya lagi.

Syaheera turut menarik perhatian kepada laporan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor yang merekodkan seramai 1,020 daripada 36,428 murid dikenal pasti mengalami kemurungan bagi sesi persekolahan 2024/2025.

“Saya yakin sebahagian daripada mereka adalah mangsa buli siber atau fizikal. Buli bukan lagi sekadar perlakuan fizikal, ia kini merebak ke alam digital dan memberi kesan mendalam kepada kesihatan mental pelajar,” katanya lagi.

Beliau berharap penguatkuasaan undang-undang baharu itu akan dapat menurunkan kadar kes buli di negara ini serta memberi amaran keras kepada pelaku agar tidak mengulangi perbuatan yang boleh memusnahkan nyawa dan masa depan mangsa.

Syaheera turut menyeru orang ramai agar segera melaporkan sebarang kes buli kepada pihak berkuasa seperti polis atau badan bukan kerajaan (NGO) seperti Befrienders Malaysia (03-7627 2929), Women’s Aid Organisation (018-988 8058) dan SUHAKAM.

“Kita semua ada tanggungjawab untuk membendung jenayah buli…jangan tunggu tragedi seperti kes Esha berulang untuk kita bertindak,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button