
Pelajar cedera ditumbuk, pemandu panas baran dicekup
KAJANG – Seorang lelaki yang bertindak membelasah seorang pelajar sekolah menengah dalam kejadian di Saujana Impian, petang tadi ditahan polis.
Difahamkan, insiden berpunca daripada perselisihan faham ketika memandu, sebelum suspek berang dan melepaskan penumbuk hingga menyebabkan mangsa cedera.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 9.24 malam daripada seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang mendakwa dipukul lelaki tidak dikenali.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada pukul 2.15 petang selepas berlaku perselisihan faham antara dua individu ketika memandu.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami retak tulang batang hidung dan menerima rawatan di Hospital Kajang.
“Siasatan juga mendapati remaja terbabit tidak mempunyai lesen memandu dan telah dikenakan saman trafik,” katanya dalam satu kenyataan.
Susulan kejadian, polis menahan seorang lelaki berusia 39 tahun yang bekerja sebagai penasihat agensi pelancongan di sekitar Kajang pada pukul 9.50 malam bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara gopoh hingga membahayakan orang lain.
Terdahulu, tular video berdurasi 34 saat di media sosial yang memaparkan seorang pelajar lelaki berlumuran darah di bahagian hidung dalam sebuah kereta, dipercayai akibat dibelasah suspek.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat, Inspektor E.N. Chalart Cinda di talian 017-9825510.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |