
Pelajar 19 tahun maut jatuh kondo tingkat 39
KUALA LUMPUR – Seorang pelajar berusia 19 tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 39 sebuah kondominium di Sungai Besi, di sini malam tadi.
Pelajar lelaki jurusan penerbangan di sebuah kolej swasta itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala, anggota badan dan kaki.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 10.53 malam.
Kata beliau, siasatan awal mendapati, mangsa terjatuh dari tingkat 39 dan terhempas ke atas bumbung kereta yang diparkir di hadapan sebuah restoran.
“Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup di kawasan ruang legar tingkat 38 tempat mangsa menyewa bilik menunjukkan mangsa keluar dari rumah secara melulu dan berlari seorang diri menuju ke ruang tangga tingkat 39.
“Kemungkinan mangsa terjatuh dari situ. Kawasan tersebut ada kesan pecahan cermin tingkap dan telefon peribadi mangsa ada di kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini, memetik laporan Kosmo Online.
Mengulas lanjut, Aidil berkata, rakaman percakapan waris abang kepada mangsa, memaklumkan mangsa merupakan pelajar jurusan penerbangan di sebuah akademi terletak di ibu kota.
Tambah beliau, abang mangsa memaklumkan mangsa tidak mempunyai masalah peribadi dan tidak mempunyai apa-apa penyakit.
“Mangsa merupakan seorang yang pendiam dan tidak suka berkongsi masalah dengan sesiapa. Mangsa juga tidak mempunyai teman wanita dan tidak mempunyai masalah kemurungan.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk bedah siasat. Beberapa sampel DNA diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |