Pelajar 15 tahun tikam rakan sekolah hingga maut, tiga lagi cedera di Nantes
NANTES – Seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun bertindak menikam rakan sekelasnya sehingga maut dan mencederakan tiga lagi dalam kejadian di sebuah sekolah menengah swasta di bandar barat Perancis, semalam.
Kejadian berlaku di Sekolah Katolik Notre-Dame-de-Toutes-Aides dengan suspek berjaya ditahan oleh guru sebelum pihak polis tiba di lokasi.
Menurut jurucakap polis, setakat ini tiada petunjuk bahawa serangan itu bermotifkan keganasan atau berkaitan dengan kumpulan pengganas.
Laporan media tempatan termasuk saluran BFM TV menyatakan mangsa yang maut adalah seorang pelajar perempuan, manakala tiga yang cedera adalah pelajar lelaki.
Namun, polis masih belum mengesahkan identiti dan umur kesemua mangsa.
Pelajar-pelajar sekolah itu dikatakan dikurung sementara di dalam kawasan sekolah selepas kejadian sebelum dibenarkan pulang pada waktu petang dengan pengawasan polis.
Puluhan ibu bapa kelihatan berkumpul di luar pagar sekolah menunggu anak-anak mereka dengan penuh kegusaran.
“Kami hanya mahu memeluk mereka… membantu mereka tenangkan diri selepas trauma yang mereka alami,” kata Nicolas, seorang bapa kepada salah seorang pelajar.
Suspek tidak dinamakan oleh pihak berkuasa manakala motif serangan juga masih belum didedahkan.
Akhbar tempatan Ouest France melaporkan bahawa penyerang berpakaian serba hitam, memakai topi keledar serta penutup muka balaclava ketika kejadian.
Dua bilah pisau turut ditemui berhampiran barang miliknya.
Beberapa laporan media mendakwa suspek telah menghantar satu dokumen kepada semua pelajar sekolah melalui e-mel miliknya sebelum kejadian, yang menggambarkan pandangan negatifnya terhadap masyarakat, namun tiada sebarang ancaman atau petunjuk berlakunya serangan.
Saluran Franceinfo turut melaporkan insiden itu mungkin berpunca daripada konflik antara pelajar, namun maklumat tersebut masih belum disahkan oleh polis.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






