
Pegawai Imigresen ditemui bersama 12 pasport asing di KLIA
KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengesahkan penemuan 12 keping pasport asing yang disembunyikan oleh seorang pegawai imigresen di Pejabat Operasi Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, susulan penemuan pada 1 Januari lalu itu, JIM telah memulakan siasatan dan mengambil tindakan memindahkan pegawai berkenaan ke bahagian lain.
Katanya, satu laporan polis berhubung insiden itu telah dibuat pada 7 Januari lalu dan kes kini diklasifikasikan sebagai tindakan jabatan.
“Satu kertas siasatan integriti telah dibuka untuk meneliti kejadian tersebut.
“JIM juga memaklumkan bahawa pihak pengurusan KLIA telah mengambil langkah awal dengan memindahkan pegawai yang terbabit ke Depot Imigresen KLIA sementara siasatan berlangsung,” katanya.
Bagaimanapun katanya, arahan pemindahan itu tidak dipatuhi pegawai berkenaan kerana tidak hadir melapor diri ke tempat bertugas baharu.
Katanya, siasatan integriti masih diteruskan oleh Bahagian Integriti JIM KLIA dan dijangka selesai dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, JIM menegaskan bahawa jabatan tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pegawai yang terlibat dalam sebarang pelanggaran integriti yang boleh mencemarkan nama baik jabatan.
“Tindakan tegas, termasuk pemecatan akan diambil sekiranya pegawai tersebut didapati bersalah,” katanya.
Dalam pada itu, JIM juga menyeru orang ramai untuk melaporkan sebarang salah laku integriti pegawai imigresen melalui talian 03-880 1246, e-mel aduanintegriti@imi.gov.my, atau hadir ke Bahagian Integriti di Aras 4, Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |