Tiga individu dirakam keterangan kes pecah masuk rumah cucu Tun M
KUALA LUMPUR – Polis telah merakam keterangan tiga individu bagi membantu siasatan berhubung kes pecah masuk kediaman yang dihuni cucu kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Bukit Ledang, baru-baru ini.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, mereka yang dirakam keterangan terdiri daripada pengawal keselamatan dan pembantu rumah yang bertugas di kediaman berkenaan.
“Setakat ini, tiada sebarang tangkapan dilakukan dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya memetik laporan BERNAMA.
Terdahulu, media melaporkan bahawa pihak polis masih menjalankan siasatan menyeluruh termasuk menunggu laporan forensik susulan kejadian jenayah tersebut yang menyebabkan kerugian dianggarkan bernilai RM1.8 juta.
Menurut Mohamed Usuf Jan, hasil siasatan mendapati terdapat kesan pecah masuk pada premis terbabit dan kediaman tersebut disahkan milik Mirzan Mahathir, namun didiami oleh anak beliau yang juga merupakan cucu kepada Dr Mahathir.
Katanya, kerugian yang dicatatkan melibatkan barangan kemas lama dipercayai milik peribadi serta beberapa barangan lain.
Difahamkan kejadian berkenaan berlaku pada hari Rabu dan disedari oleh pembantu rumah mangsa kira-kira pukul 3 petang, yang kemudian menghubungi majikannya selepas mendapati pintu pagar bahagian belakang telah dipotong dan bilik mangsa telah diceroboh.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








