BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

PDRM hormati keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes Yusoff Rawther

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghormati dan mengalu-alukan pandangan yang dikemukakan semua pihak berhubung keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes Yusoff Rawther.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pandangan awam terhadap keputusan tersebut mencerminkan hasrat untuk memastikan sistem keadilan jenayah negara kekal telus, adil dan menjunjung prinsip hak asasi manusia.

“PDRM sedang menunggu dan akan meneliti penghakiman penuh perbicaraan untuk melihat jika wujud sebarang kelemahan atau kelompangan dalam siasatan yang dijalankan,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Beliau turut memberi jaminan sebarang penambahbaikan akan dilakukan melalui semakan dalaman serta pemantapan Prosedur Operasi Standard (SOP) penyiasatan.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, semua laporan polis, termasuk kes-kes berprofil tinggi, akan disiasat secara adil tanpa prejudis.

Beliau menegaskan keputusan untuk mendakwa adalah tertakluk kepada peruntukan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dan dibuat oleh Jabatan Peguam Negara.

Mengimbas kembali, laporan yang dibuat Yusoff Rawther pada 12 September 2024 telah disiasat di bawah dua kertas siasatan membabitkan dakwaan penemuan dadah serta pistol.

Bagaimanapun, pihak polis mendapati tiada keperluan untuk mengambil keterangan daripada Perdana Menteri dalam kes tersebut kerana tindakan telah diambil pada peringkat awal.

“PDRM telah mengemukakan cadangan pertuduhan kepada Pejabat Peguam Negara dan berpuas hati bahawa setakat keterangan yang ada, sudah mencukupi untuk menuduh Yusoff Rawther tanpa keperluan memanggil mana-mana pihak lain,” jelasnya lagi.

Tambah beliau, seperti dalam kes-kes lain, PDRM sentiasa cakna dengan keputusan mahkamah yang tidak memihak dan akan mengambil tindakan proaktif untuk meningkatkan mutu siasatan serta mendokong proses pendakwaan yang lebih berkesan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button