Pasangan kekasih ditahan bersama 18.5kg ganja di Kuala Lumpur
KUALA LUMPUR – Polis menahan sepasang kekasih disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah selepas menemukan 18.5 kilogram (kg) bunga ganja di dalam sebuah kenderaan di kawasan parkir kondominium sekitar Jalan Klang Lama, di sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek, masing-masing lelaki berusia 47 tahun dan wanita berumur 56 tahun, dipercayai aktif menjalankan kegiatan tersebut sejak Ogos lalu.
Menurutnya, pemeriksaan ke atas kereta jenis Proton Exora dinaiki mereka menemui bungkusan berisi bahan disyaki ganja dengan anggaran nilai pasaran RM553,500, dipercayai untuk diedarkan di kawasan sekitar Lembah Klang.
“Pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur menahan kedua-dua suspek pada jam 3.20 petang dan hasil pemeriksaan menemui 18.5kg ganja yang dianggarkan boleh dibekalkan kepada kira-kira 37,000 pengguna,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Fadil berkata, siasatan mendapati sindiket berkenaan menjadikan kawasan parkir kondominium sebagai lokasi utama menjalankan transaksi bagi mengelak kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.
“Ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek didapati negatif, namun suspek lelaki mempunyai dua rekod lampau membabitkan Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29 Akta Kesalahan Kecil 1952.
“Kedua-dua suspek direman selama enam hari bermula 26 hingga 31 Oktober bagi membantu siasatan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya lagi.
Pihak polis akan terus memperhebatkan operasi bagi mengekang kegiatan pengedaran dadah di sekitar ibu negara bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat terjamin.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





