JENAYAH & MAHKAMAH

Padah buat komen 3R di Facebook, petani dipenjara 6 bulan

SEPANG – Seorang petani dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah membuat komen jelik menyentuh isu 3R (agama, kaum dan raja) di Facebook pada Februari lepas.

Mohammad Faisal Mohd Yusof, 37, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

“Kesalahan melibatkan 3R ini serius ya. Menyentuh Agong atau raja, menyentuh bangsa dan menyentuh agama. Dalam kes kamu menyentuh bangsa.

“Kalau kamu kata bangsa Melayu bersedia untuk berperang, kaum Cina dan India pun pasti bersedia untuk berperang juga.

“Jika ini berlaku, huru-hara dalam Malaysia. Keharmonian ini yang kita hendak jaga dalam negara,” kata Ahmad Fuad.

Beliau turut menasihatkan OKS agar tidak membuat komen jelik dengan mudah kerana akibatnya diri sendiri yang akan menanggung.

“Bila kita sudah muat naik komen, ia akan kekal di situ selamanya. Walaupun kamu sudah padam, ada teknologi yang boleh timbulkannya semula.

“Sebab itu jangan buat komen yang tak perlu. MCMC memantau setiap komen rakyat Malaysia,” tegasnya.

Mengikut pertuduhan, Mohammad Faisal secara sedar telah membuat dan memulakan hantaran komen yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, menggunakan akaun Facebook ‘Mohd Faisal Yusop’.

Hantaran tersebut didakwa dilakukan pada 12.40 pagi, 9 Februari lepas dan dilihat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kira-kira 1.40 tengah hari yang sama di MCMC Tower 1, Jalan Impact, Cyber 6, Cyberjaya.

Bapa tunggal kepada tiga orang anak itu juga didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah pada awalnya mengenakan hukuman denda RM20,000, yang kemudian dikurangkan kepada RM15,000 atau enam bulan penjara.

Bagaimanapun, Mohammad Faisal gagal membayar denda.

Kes dikendalikan oleh pendakwaan daripada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button