Op Sawit: Minyak sawit dan peralatan bernilai RM212,200 dirampas di Puchong
KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) merampas minyak sawit dan pelbagai peralatan bernilai RM212,200 dalam serbuan ke atas sebuah kilang di Taman Perindustrian Puchong Utama, kelmarin.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, serbuan dijalankan hasil risikan dan pemantauan menerusi pelaksanaan Op Sawit bagi membanteras kegiatan penyeludupan minyak sawit menggunakan kenderaan perdagangan.
“Pada pukul 4 petang, pasukan operasi mengesan sebuah lori membawa muatan mencurigakan di kawasan Klang sebelum mengekori kenderaan tersebut sehingga ke sebuah kilang di Puchong dan melakukan serbuan kira-kira jam 5.30 petang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi menemui dua lelaki tempatan masing-masing berusia 36 dan 44 tahun yang berada di dalam kawasan premis berkenaan.
“Hasil pemeriksaan ke atas lori menemukan empat tong bekas pukal (IBC) berisi kira-kira 4,000 liter minyak sawit serta satu unit pam bermotor lengkap dengan hos.
“Pemeriksaan lanjut dalam kilang pula menemui satu tangki penapis berisi 500 kilogram minyak sawit terpakai, dua unit pam bermotor, lima tangki mengandungi minyak sawit mentah dengan anggaran jumlah keseluruhan 13,500 liter,” jelasnya lagi.
Katanya, semua barangan yang dirampas termasuk lori dianggarkan bernilai RM212,200 dan telah disita serta dibawa ke Pejabat MPOB Wilayah Selatan untuk siasatan lanjut.
“Kedua-dua lelaki terbabit ditahan kerana disyaki memiliki keluaran minyak sawit tanpa lesen sah,” katanya lagi.
Operasi bersepadu itu melibatkan seorang pegawai dan 15 anggota JSPT Bukit Aman serta sembilan Penolong Pegawai Penguat Kuasa MPOB yang bermula pukul 10 malam Khamis hingga 6 petang kelmarin.
Kes disiasat mengikut Kaedah 5 Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Pelesenan) 2005 serta Akta Kawalan Bekalan 1961.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








