BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Op Sky: 16 individu termasuk pegawai dan bekas pegawai bank bakal didakwa SPRM

PUTRAJAYA – Jabatan Peguam Negara telah memberi keizinan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendakwa 16 individu yang terlibat dalam sindiket pemberian pinjaman kepada ribuan penjawat awam, baru-baru ini.

Ia termasuklah pegawai dan bekas pegawai institusi perbankan terbabit.

Menurut BH Online, pendakwaan tersebut akan dijalankan secara berperingkat di beberapa mahkamah seluruh negara.

Antaranya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan; Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor dan Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, Sabah.

Tindakan itu diambil susulan pendakwaan terhadap dua pegawai bank di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam dan empat bekas pegawai bank, hari ini.

Sumber berkata, semua suspek akan dituduh di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dengan 349 pertuduhan iaitu membabitkan nilai berjumlah hampir RM2 juta.

“Mereka dipercayai menerima rasuah sebagai balasan membantu memproses dan meluluskan permohonan pinjaman peribadi pelanggan yang dikemukakan sebuah syarikat perunding kewangan secara serentak.

“Ia mengakibatkan pelanggan mempunyai beberapa pinjaman melebihi had kelayakannya,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, dua pegawai bank yang terbabit dengan sindiket pinjaman kewangan dengan memperdayakan ribuan mangsa didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam.

Syed Mohd Muhaimin Syed Mohd Mashrof, 42, dan Zaymee Zanee Othman, 43, masing-masing didakwa atas 14 dan sembilan pertuduhan yang dibacakan secara berasingan.

Kedua-duanya mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button