BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Nur Farah Kartini dikebumikan di Pekan, Pahang petang ini – Abang

SUNGAI BULOH – Jenazah bekas graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah, 25, yang dipercayai mati dibunuh kenalan sendiri akan dikebumikan di Pekan, Pahang petang ini.

Jenazah Almarhum yang dituntut oleh ahli keluarga dilihat dibawa menaiki van jenazah kira-kira pukul 2 petang tadi di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh.

Abang arwah, Mohd Farriza Amir berkata, proses pengurusan jenazah telah dilakukan dan jenazah akan disolatkan di Masjid As-Syakirin, Kampung Tanjung Selangor sebelum dibawa ke Pekan.

Katanya, urusan pengebumian dijangka dilakukan selepas solat Asar hari ini di Tanah Perkuburan Kampung Nyiur Manis, Bentan, Pekan.

Pergerakan van jenazah diiringi beberapa buah kenderaan termasuk kenderaan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh.

Mayat Nur Farah Kartini ditemukan pada Isnin lalu di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor selepas dilaporkan hilang sejak 10 Julai lalu.

Mangsa dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan dan siasatan kes membawa kepada penahanan suspek dikenali mangsa iaitu seorang anggota polis yang bertugas di Balai Polis Slim River, Tanjung Malim, Perak.

Suspek yang berpangkat Lans Koperal itu direman selama seminggu bagi tujuan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button