BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

DAP gesa Peguam Negara jelaskan keputusan NFA kes kematian Teoh Beng Hock

KUALA LUMPUR – DAP hari ini menggesa Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar untuk memberi penjelasan terperinci berhubung keputusannya mengklasifikasikan kes kematian Teoh Beng Hock sebagai “tiada tindakan lanjut” (NFA).

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo dan Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook bagi pihak Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti itu, mereka menzahirkan rasa kecewa terhadap keputusan terbaru Peguam Negara itu.

“Peguam Negara perlu menjelaskan mengapa beliau berpendapat tidak terdapat bukti yang mencukupi untuk mendakwa mana-mana individu berhubung kes kematian Teoh Beng Hock,” kata kenyataan itu hari ini.

Kes tersebut diklasifikasikan sebagai NFA pada 21 Mei lalu selepas kertas siasatan diserahkan oleh pihak polis kepada Peguam Negara.

Pada 30 Mei, Peguam Negara dilaporkan telah memaklumkan keputusan itu secara rasmi kepada peguam keluarga Teoh.

Menurut DAP, keputusan tersebut dilihat bercanggah dengan perkembangan penting yang pernah dicapai dalam kes itu, termasuk dapatan Mahkamah Rayuan dan penyelesaian sivil yang memihak kepada keluarga Teoh.

Sejak kematian Teoh pada 2009, DAP telah konsisten menuntut keadilan dengan membentuk pasukan peguam dan mendesak satu inkues dijalankan untuk menentukan punca kematiannya.

Inkues tersebut mendedahkan terdapat kesan lebam pada leher mangsa, namun Koroner ketika itu memberikan keputusan terbuka pada 5 Januari 2011.

Permohonan untuk mengetepikan keputusan itu ditolak oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, namun Mahkamah Rayuan kemudiannya membatalkan keputusan kedua-dua mahkamah tersebut dan menyimpulkan bahawa kematian Teoh disebabkan oleh “perbuatan menyalahi undang-undang oleh individu tidak dikenali, termasuk pegawai SPRM yang terlibat dalam penahanan dan siasatan mangsa”.

Dalam tindakan sivil yang difailkan oleh keluarga Teoh dengan sokongan DAP, kerajaan dan SPRM mengakui bertanggungjawab atas kecuaian yang menyebabkan kematian tersebut, dan satu pampasan berjumlah RM600,000 bersama kos sebanyak RM60,000 telah diberikan kepada keluarga.

“Keputusan Mahkamah Rayuan serta penghakiman kes sivil ini seharusnya menjadi asas kukuh bagi pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab,” tambah kenyataan itu.

DAP turut berkata, tanggungjawab menyiasat kes itu terletak pada pihak polis, namun keputusan untuk mendakwa adalah kuasa mutlak Peguam Negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Beliau dan tiada pihak lain mempunyai budi bicara tersebut. Maka, beliau mesti tampil memberikan alasan mengapa keputusan NFA dibuat, terutamanya apabila sudah ada dapatan daripada Mahkamah Rayuan serta pengakuan kecuaian dalam prosiding sivil.”

DAP turut menyatakan sokongan terhadap usaha keluarga Teoh yang kini sedang mempertimbangkan tindakan semakan kehakiman terhadap keputusan NFA tersebut.

“Kami menyokong sepenuhnya tindakan ini dan menggesa Peguam Negara untuk meneliti semula keputusannya serta meneruskan pendakwaan terhadap mereka yang bertanggungjawab tanpa sebarang kelewatan lagi,” tegas kenyataan itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button