
Najib Razak dilepas tanpa bebas kes SRC International
KUALA LUMPUR – Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini dilepas tanpa bebas (DNAA) daripada tiga tuduhan pengubahan wang haram dana syarikat pelaburan strategik, SRC International Sdn Bhd berjumlah RM27 juta.
Keputusan itu diumumkan Hakim Mahkamah Tinggi, K Muniandy dalam prosiding hari ini.
Pada 3 Februari 2019, Najib mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM27 juta, yang digunakan untuk aktiviti tidak mengikut undang-undang, dalam tiga akaun AmPrivate Banking milik beliau.
Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 itu membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International.
Mahkamah Tinggi sebelum itu menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Persekutuan selepas menolak rayuan Najib.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |