JENAYAH & MAHKAMAH

Najib gembira, lega diberi DNAA – Peguam

KUALA LUMPUR – Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi hari ini yang melepas tanpa membebaskan (DNAA) beliau daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM27 juta yang dikaitkan dengan SRC International Bhd.

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, anak guamnya turut berasa lega kerana beliau tidak lagi dibebankan dengan terlalu banyak kes lain.

“Sekarang beliau boleh memberi tumpuan kepada kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB),” kata Shafee dalam sidang akhbar selepas prosiding mahkamah, hari ini.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi, K. Muniandy, membenarkan permohonan pihak pembelaan Najib, 72, supaya bekas Ahli Parlimen Pekan itu dilepas tanpa dibebaskan.

Jelas Shafee, hakim memutuskan demikian selepas bersetuju dengan hujahan beliau yang berpendapat kes itu sudah tertangguh terlalu lama.

“Jelas dalam kes ini pihak pendakwaan tidak bersedia dan hakim bersetuju dan memutuskan untuk membenarkan permohonan DNAA kami,” katanya.

Muhammad Shafee dalam hujahannya memohon supaya Najib dilepas tanpa dibebaskan daripada tiga pertuduhan itu sambil berkata, DNAA adalah terbaik untuk diberikan kepada anak guamnya buat masa ini, dengan mengambil kira faktor garis masa yang tidak pasti bila perbicaraan kes itu akan bermula.

Hujah beliau, ertuduhan terhadap Najib dibuat pada 2019 yang mana ia sudah mengambil masa selama enam tahun, manakala representasi pula dikemukakan pada 31 Julai 2023.

Pada 3 Februari 2019, Najib didakwa atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya, di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button