BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Najib dapat kebenaran mulakan semakan kehakiman Titah Adendum

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini, hari ini memerintahkan agar kes pengesahan kewujudan Titah Adendum bagi tahanan rumah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dikembalikan ke Mahkamah Tinggi.

Keputusan majoriti 2 -1 dibuat Hakim Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril memerintahkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendengar merit semakan kehakiman yang dikemukakan bekas perdana menteri itu, manakala Hakim Datuk Azizah Nawawi yang mengetuai panel menentangnya.

Titah Adendum berkenaan dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Pada 3 Julai tahun lalu, Najib memafailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap Titah Adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Dakwa Najib, 72, Titah Adendum itu akan membolehkan beliau untuk menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh kemudian memutuskan empat afidavit yang menyokong tuntutannya termasuk kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail tidak boleh diterima kerana ia khabar angin semata-mata.

Terdahulu, Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button