
Naim Daniel didakwa amang seksual remaja, mengaku tidak bersalah
PUTRAJAYA – Penyanyi dan pelakon terkenal, Naim Daniel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun pada 19 Mei lalu.
Tertuduh yang juga selebriti popular, atau nama sebenarnya Muhammad Naim Daniel Baharin, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin M. Kunasundary.
Mengikut pertuduhan, Naim didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap mangsa di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor sekitar pukul 8.56 malam, pada tarikh berkenaan.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izzah Shaharuddin, manakala tertuduh diwakili barisan peguam Mohd Irwan Sumadi dan Amirul Ridzuan Hanif.
Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM15,000 dengan syarat tambahan iaitu penahanan pasport serta larangan mendekati atau menghubungi mangsa dan saksi pendakwaan dalam sebarang bentuk.
Mahkamah kemudian membenarkan Naim diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dicadangkan pihak pendakwaan. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 18 Ogos depan.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa Naim ditahan polis pada 3 Jun lalu selepas dipercayai terlibat dalam kes amang seksual terhadap seorang pelajar perempuan di sebuah hotel di Selangor.
Siasatan awal mendapati selebriti itu dan mangsa berkenalan kira-kira dua bulan sebelum kejadian, dan insiden didakwa berlaku ketika pertama kali mereka ke hotel bersama.
Bagaimanapun, Naim dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai dirakam keterangan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |
One Comment