
Nahas UPSI: Syarikat bas didenda RM20,000 kerana langgar syarat lesen
KUALA LUMPUR – Syarikat Kenari Utara Travel & Tours Sdn. Bhd. dikenakan denda sebanyak RM20,000 oleh Mahkamah Majistret Gerik selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan melanggar syarat lesen di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).
Syarikat berkenaan didapati menjual bas persiaran bernombor pendaftaran PLD 8892 serta menyewakan permit bas itu kepada Noreen Maju Trading, sebuah entiti tidak berlesen yang menjalankan aktiviti pengendalian pelancongan.
Bas tersebut kemudiannya terlibat dalam kemalangan maut di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik, Perak, pada 9 Jun lalu, yang mengorbankan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam perjalanan pulang ke kampus Tanjong Malim dari Jertih, Terengganu.
Menurut kenyataan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM10,000 bagi setiap pertuduhan, dan sekiranya gagal membayar denda, syarikat boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Zulaikha Mahadi bersama Pegawai Pendakwa MOTAC, Nurul Hidayah Aman.
MOTAC berkata, pelanggaran terhadap Akta 482 merupakan kesalahan serius dan kementerian tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mengancam keselamatan pelancong serta menjejaskan reputasi industri pelancongan negara.
“MOTAC komited untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang dan mengabaikan keselamatan pelancong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tragedi pada 9 Jun itu turut menyebabkan 33 lagi individu cedera, termasuk pemandu dan kelindan bas, serta pemandu dan tiga penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV) yang terlibat dalam nahas berkenaan berhampiran Tasik Banding, Gerik.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






